Tajuk Buku:
MAAF CAKAP: Nasihat Segar Agar Kita Sedar
Penulis:
Norden Mohamed
Penerbit & Pengedar:
Grup Buku Karangkraf Sdn. Bhd.
Harga:
RM18.00 (Sem), RM21 (SS)
PENGENALAN
MAAF CAKAP: NASIHAT SEGAR AGAR KITA SEDAR
'Maaf cakap' adalah frasa yang digunakan apabila kita menegur sesuatu yang kurang menyenangkan. Ia adalah alas kata yang digunakan untuk menyalut sesuatu kritikan yang membina.
Dalam dunia yang lebih terbuka dan telus, seni menegur sudah menjadi keras dan tumpul. Akibatnya, teguran yang disampaikan dengan membina itu kerap kali bernada keras, tegas, malah kadangkala celopar. Cara begini tidak kena kerana kurang berhemah.
Sesuai dengan tajuk bukunya, mesej yang disampaikan penulis begitu santai dan berlapik. Namun begitu, adakalanya ia juga menusuk dan menghiris perasaan kerana penulis memilih untuk menyindir melalui watak-watak individu sebagai perbandingan. Malah, kerap juga penulis menggunakan dirinya sebagai contoh untuk dikritik dalam menyalurkan mesej.
Buku ini dibahagikan kepada lima segmen iaitu politik, sosial, bisnes dan sumber manusia. Segmen motivasi pula merupakan segmen yang paling mendapat perhatian kerana penulis berasakan banyak masalah berlaku kerana manusia itu sendiri.
SINOPSIS
MENEGUR kesilapan orang itu amat baik. Namun, mesti kena caranya. Jika tersilap gaya, orang yang ditegur itu bukan sahaja akan menolak saranan kita, malah kita mungkin kehilangan seorang saudara.
MAAF CAKAP berupa kritik penulis terhadap kesilapan cara berfikir dan tindakan penulis sendiri. Setiap kali merenung kesilapan dan mencatatnya, terlintas di fikiran beliau, alangkah baik seandainya nota-notanya itu dikongsi dengan para pembaca kerana kesilapannya itu juga adalah kesilapan ramai dalam kalangan kita.
Antara isu yang diutarakan adalah bisnes, motivasi, politik, sosial dan sumber manusia. Disampaikan secara santai tetapi berlapik, namun, ada kalanya topik yang dibawakan itu mempunyai isi dan inti yang menusuk dan menghiris perasaan.
Melihatkan kepada tajuknya sahaja membuatkan aku tertarik untuk membaca buku ini. Cara penulisannya yang santai dan penggunaan perkataan yang ringkas dan mudah difahami menjadikan buku ini amat sesuai untuk dibaca oleh segenap lapisan masyarakat. Huraian dari 1 tajuk ke tajuk yang lain juga dibuat secara ringkas dan padat serta tidak meleret membuatkan mood ingin membaca terus berkobar-kobar sehingga ke helaian yang terakhir.
Sesuai dengan tajuknya, membaca buku ini terasa seperti ada seseorang sedang membisikkan nasihat di telinga dan ianya menusuk masuk jauh dalam ke sanubari. Kisah yang diceritakan di dalam buku ini terasa begitu dekat dengan hati dan apa yang berlaku di sekeliling kita. Kadangkala sambil membaca aku tersenyum dan tersengih-sengih sendirian apabila cerita itu terkena pada diriku. Kadang-kadang, ia turut membuat aku termenung sejenak sambil terdetik di dalam hati "Aku macam tu ke?"
Buku ini mengandungi 373 muka surat yang mana di dalamnya terdiri daripada lebih 100 isu yang memperkatakan mengenai motivasi, sosial, sumber manusia, bisnes dan politik. Semua isu ini diadun dengan sebati untuk dinikmati dan dihayati serta menjadi tauladan dan pedoman setiap pembaca.
Pada pendapat saya, membaca buku ini sama seperti kita memuhasabah diri sambil menegur diri sendiri. Kadangkala kita berasa terlalu ego dan merasakan apa yang kita lakukan semuanya betul, sehinggakan terlalu susah untuk menerima teguran orang lain. Kita berasakan yang diri ini terlalu hebat sehingga terlupa bahawa di dalam dunia ini tiada manusia yang tidak melakukan kesilapan dan tiada manusia yang sempurna. Mengakui kesilapan diri dirasakan sangat memalukan walhal ianya mencerminkan sifat rendah diri dan mendorong diri supaya tidak mengulangi kesilapan yang sama pada masa akan datang.
Masyarakat adalah sebahagian daripada kehidupan kita. Ibu bapa, adik-beradik, saudara-mara, kawan-kawan, jiran tetangga dan sesiapa sahaja semuanya sentiasa ada di sekeliling kita. Amat penting untuk kita mewujudkan suasana yang aman damai dan harmoni untuk menjamin kesejahteraan hidup kita dan generasi akan datang. Marilah sama-sama berusaha ke arah itu.
Sekian.
No comments:
Post a Comment