Thursday, September 12, 2019

Menjejaki 31 Ogos 1957 (Gelombang Ketiga)

GELOMBANG KETIGA


1951


Pucuk pimpinan telah diambil alih oleh Tunku Abdul Rahman Putra. Bagi memberi tumpuan penuh kepada UMNO, Tunku Abdul Rahman Putra telah meletak jawatan sebagai Timbalan Pendakwa Raya. Slogan UMNO kemudian diubah dari 'Hidup Melayu' kepada 'Merdeka'. Dato' Onn telah menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya yang kemudiannya dikenali sebagai Parti Negara bagi menyaingi UMNO.  

1954


7 Julai 1954 -
Perarakan menuntut kemerdekaan yang julung kali diadakan di Kuala Lumpur disertai oleh ahli-ahli UMNO dan MCA.

Satu perarakan menuntut kemerdekaan oleh ahli-ahli UMNO dan MCA diadakan di Kuala Lumpur pada 7 Julai 1954.

Tunku bersama rombongan UMNO-MCA bertolak ke London untuk menuntut kemerdekaan daripada British tetapi rundingan ini menemui kegagalan.

27 Julai 1955


Dalam Pilihanraya Persekutuan yang diadakan, Parti Perikatan, gabungan UMNO-MCA-MIC berjaya memenangi 51 dari 52 kerusi yang dipertandingkan.

27 Disember 1955


Rombongan kedua untuk merundingkan kemerdekaan berangkat ke London. Anggota rombongan terdiri daripada Tunku (Ketua), Dato' Razak, Kolonel H.S.Lee dan Dr. Ismail, Dato' Panglima Bukit Gantang Haji Abdul Wahab, Abdul Aziz Majid, Datuk Mohd. Seth, Datuk Nik Ahmad Kamil, Abdul Kadir Shamsuddin dan T.H. Tan. Mereka bertolak dengan kapal laut Asia dari Singapura pada 1 Januari 1956 jam 5.00 petang. Dari Singapura mereka menuju ke Karachi dan kemudiannya menaiki kapal terbang ke London.

18 Januari 1956


Rombongan rundingan kemerdekaan bertolak ke London.

Rombongan rundingan kemerdekaan bertolak ke London pada 18 Januari 1956.

8 Februari 1956


Tunku menandatangani perjanjian kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dengan Alan Lennox Boyd, Setiausaha Tanah Jajahan British jam 10.00 pagi di Lancaster. Tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah melayu ditetapkan pada 31 Ogos 1957.


Majlis menandatangani Perjanjian Merdeka di antara Tunku Abdul Rahman Putra dan Alan Lennox-Boyd di Lancester House, London pada 8 Februari 1956.


20 Februari 1956


Kepulangan rombongan rundingan kemerdekaan Tunku tiba dari London. Di padang Bandar Hilir, Melaka, Tunku mengisytiharkan tarikh kemerdekaan Tanah Melayu. Selepas itu, pemasyhuran tarikh kemerdekaan Malaya turut ditandatangani oleh ahli-ahli rombongan tersebut.


Tunku Abdul Rahman Putra diiringi menuju ke padang Bandar Hilir, Melaka untuk mengisytiharkan tarikh kemerdekaan pada 20 Februari 1956.


27 Jun 1957


Raja-raja Melayu meluluskan draf Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.


(Sumber: Arkib Negara Malaysia)



~ TAMAT ~




Sunday, September 1, 2019

Menjejaki 31 Ogos 1957 (Gelombang Kedua)

GELOMBANG KEDUA


1946


Malayan Union diperkenalkan. Dato' Onn yang pernah menjadi salah seorang pemimpin KRIS menubuhkan Pergerakan Melayu Semenanjung, Johor. Beliau kemudian menganjurkan Kongres Melayu Se-Malaya untuk menentang Malayan Union pada 1 - 4 Mac 1946 di Kelab Sultan Sulaiman, Kg. Baru, Kuala Lumpur. Melalui kongres tersebut lahirlah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) atau United Malays National Organization (UMNO).

Sebanyak 41 pertubuhan menyertai kongres tersebut termasuk rakan-rakan Dato' Onn dari KRIS yang telah menubuhkan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM).
Dato' Onn bin Jaafar - Pengasas Kemerdekaan
(Pemimpin Melayu yang menyemarakkan semangat menentang penjajahan British)

Kongres Melayu SeMalaya 1946 mengumpulkan semua persatuan Melayu bagi menentang Malayan Union sehingga membawa kepada penubuhan UMNO. 

Cawangan-cawangan UMNO ditubuhkan dengan pemimpin-pemimpinnya terdiri daripada kalangan bangsawan dan juga rakyat biasa. Berpegang kepada slogan 'Hidup Melayu', perjuangan UMNO ketika mula digerakkan adalah untuk membubarkan Malayan Union dan mengembalikan kedaulatan Raja-raja Melayu. 

Perjuangan UMNO ini turut mendapat saingan hebat dari parti-parti kiri. Perjuangan parti-parti kiri ini mendapat sokongan kuat dari badan-badan kesatuan buruh dan lain-lain parti yang kemudiannya bergabung membentuk All Malayan Council Joint Action (AMCJA) pada 22 Disember 1946. Parti-parti kiri Melayu seperti PKMM, Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan lain-lain parti turut bergabung membentuk Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) pada 22 Februari 1947. PUTERA dan AMCJA kemudiannya bergabung dan dikenali sebagai PUTERA-AMCJA.

Perjuangan UMNO mendapat sokongan padu daripada Raja-raja, pembesar-pembesar Melayu dan rakyat jelata. Hasil dari perjuangan yang gigih, akhirnya sebuah jawatankuasa telah dibentuk terdiri dari wakil-wakil kerajaan British, Raja-raja Melayu dan UMNO bagi mengkaji pembentukan sebuah kerajaan untuk menggantikan Malayan Union.

1948


Malayan Union dibubarkan dan Persekutuan Tanah Melayu diisytiharkan pada 1 Februari 1948.

1951


Dato' Onn meletakkan jawatan sebagai Yang Dipertua UMNO berikutan cadangannya supaya UMNO membukakan pintu kepada lain-lain kaum mendapat tentangan hebat dari ahli-ahli UMNO.

Wakil-wakil bahagian UMNO seluruh Malaya dihantar ke Johor Bahru untuk memujuk Dato' Onn kembali memimpin UMNO. Rayuan dari wakil-wakil UMNO ini telah diterima oleh Dato' Onn dan beliau kembali memimpin UMNO. Beberapa bulan kemudian, Dato' Onn sekali lagi meninggalkan UMNO kerana cadangannya untuk membuka pintu keahliannya kepada kaum-kaum lain sekali lagi ditolak. 


(Sumber: Arkib Negara Malaysia)

bersambung di Gelombang Ke-3...