GELOMBANG KEDUA
1946
Malayan Union diperkenalkan. Dato' Onn yang pernah menjadi salah seorang pemimpin KRIS menubuhkan Pergerakan Melayu Semenanjung, Johor. Beliau kemudian menganjurkan Kongres Melayu Se-Malaya untuk menentang Malayan Union pada 1 - 4 Mac 1946 di Kelab Sultan Sulaiman, Kg. Baru, Kuala Lumpur. Melalui kongres tersebut lahirlah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) atau United Malays National Organization (UMNO).
Sebanyak 41 pertubuhan menyertai kongres tersebut termasuk rakan-rakan Dato' Onn dari KRIS yang telah menubuhkan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM).
Dato' Onn bin Jaafar - Pengasas Kemerdekaan (Pemimpin Melayu yang menyemarakkan semangat menentang penjajahan British) |
Kongres Melayu SeMalaya 1946 mengumpulkan semua persatuan Melayu bagi menentang Malayan Union sehingga membawa kepada penubuhan UMNO.
Cawangan-cawangan UMNO ditubuhkan dengan pemimpin-pemimpinnya terdiri daripada kalangan bangsawan dan juga rakyat biasa. Berpegang kepada slogan 'Hidup Melayu', perjuangan UMNO ketika mula digerakkan adalah untuk membubarkan Malayan Union dan mengembalikan kedaulatan Raja-raja Melayu.
Perjuangan UMNO ini turut mendapat saingan hebat dari parti-parti kiri. Perjuangan parti-parti kiri ini mendapat sokongan kuat dari badan-badan kesatuan buruh dan lain-lain parti yang kemudiannya bergabung membentuk All Malayan Council Joint Action (AMCJA) pada 22 Disember 1946. Parti-parti kiri Melayu seperti PKMM, Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan lain-lain parti turut bergabung membentuk Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) pada 22 Februari 1947. PUTERA dan AMCJA kemudiannya bergabung dan dikenali sebagai PUTERA-AMCJA.
Perjuangan UMNO mendapat sokongan padu daripada Raja-raja, pembesar-pembesar Melayu dan rakyat jelata. Hasil dari perjuangan yang gigih, akhirnya sebuah jawatankuasa telah dibentuk terdiri dari wakil-wakil kerajaan British, Raja-raja Melayu dan UMNO bagi mengkaji pembentukan sebuah kerajaan untuk menggantikan Malayan Union.
1948
Malayan Union dibubarkan dan Persekutuan Tanah Melayu diisytiharkan pada 1 Februari 1948.
1951
Dato' Onn meletakkan jawatan sebagai Yang Dipertua UMNO berikutan cadangannya supaya UMNO membukakan pintu kepada lain-lain kaum mendapat tentangan hebat dari ahli-ahli UMNO.
Wakil-wakil bahagian UMNO seluruh Malaya dihantar ke Johor Bahru untuk memujuk Dato' Onn kembali memimpin UMNO. Rayuan dari wakil-wakil UMNO ini telah diterima oleh Dato' Onn dan beliau kembali memimpin UMNO. Beberapa bulan kemudian, Dato' Onn sekali lagi meninggalkan UMNO kerana cadangannya untuk membuka pintu keahliannya kepada kaum-kaum lain sekali lagi ditolak.
No comments:
Post a Comment