Thursday, September 12, 2019

Menjejaki 31 Ogos 1957 (Gelombang Ketiga)

GELOMBANG KETIGA


1951


Pucuk pimpinan telah diambil alih oleh Tunku Abdul Rahman Putra. Bagi memberi tumpuan penuh kepada UMNO, Tunku Abdul Rahman Putra telah meletak jawatan sebagai Timbalan Pendakwa Raya. Slogan UMNO kemudian diubah dari 'Hidup Melayu' kepada 'Merdeka'. Dato' Onn telah menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya yang kemudiannya dikenali sebagai Parti Negara bagi menyaingi UMNO.  

1954


7 Julai 1954 -
Perarakan menuntut kemerdekaan yang julung kali diadakan di Kuala Lumpur disertai oleh ahli-ahli UMNO dan MCA.

Satu perarakan menuntut kemerdekaan oleh ahli-ahli UMNO dan MCA diadakan di Kuala Lumpur pada 7 Julai 1954.

Tunku bersama rombongan UMNO-MCA bertolak ke London untuk menuntut kemerdekaan daripada British tetapi rundingan ini menemui kegagalan.

27 Julai 1955


Dalam Pilihanraya Persekutuan yang diadakan, Parti Perikatan, gabungan UMNO-MCA-MIC berjaya memenangi 51 dari 52 kerusi yang dipertandingkan.

27 Disember 1955


Rombongan kedua untuk merundingkan kemerdekaan berangkat ke London. Anggota rombongan terdiri daripada Tunku (Ketua), Dato' Razak, Kolonel H.S.Lee dan Dr. Ismail, Dato' Panglima Bukit Gantang Haji Abdul Wahab, Abdul Aziz Majid, Datuk Mohd. Seth, Datuk Nik Ahmad Kamil, Abdul Kadir Shamsuddin dan T.H. Tan. Mereka bertolak dengan kapal laut Asia dari Singapura pada 1 Januari 1956 jam 5.00 petang. Dari Singapura mereka menuju ke Karachi dan kemudiannya menaiki kapal terbang ke London.

18 Januari 1956


Rombongan rundingan kemerdekaan bertolak ke London.

Rombongan rundingan kemerdekaan bertolak ke London pada 18 Januari 1956.

8 Februari 1956


Tunku menandatangani perjanjian kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dengan Alan Lennox Boyd, Setiausaha Tanah Jajahan British jam 10.00 pagi di Lancaster. Tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah melayu ditetapkan pada 31 Ogos 1957.


Majlis menandatangani Perjanjian Merdeka di antara Tunku Abdul Rahman Putra dan Alan Lennox-Boyd di Lancester House, London pada 8 Februari 1956.


20 Februari 1956


Kepulangan rombongan rundingan kemerdekaan Tunku tiba dari London. Di padang Bandar Hilir, Melaka, Tunku mengisytiharkan tarikh kemerdekaan Tanah Melayu. Selepas itu, pemasyhuran tarikh kemerdekaan Malaya turut ditandatangani oleh ahli-ahli rombongan tersebut.


Tunku Abdul Rahman Putra diiringi menuju ke padang Bandar Hilir, Melaka untuk mengisytiharkan tarikh kemerdekaan pada 20 Februari 1956.


27 Jun 1957


Raja-raja Melayu meluluskan draf Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.


(Sumber: Arkib Negara Malaysia)



~ TAMAT ~




Sunday, September 1, 2019

Menjejaki 31 Ogos 1957 (Gelombang Kedua)

GELOMBANG KEDUA


1946


Malayan Union diperkenalkan. Dato' Onn yang pernah menjadi salah seorang pemimpin KRIS menubuhkan Pergerakan Melayu Semenanjung, Johor. Beliau kemudian menganjurkan Kongres Melayu Se-Malaya untuk menentang Malayan Union pada 1 - 4 Mac 1946 di Kelab Sultan Sulaiman, Kg. Baru, Kuala Lumpur. Melalui kongres tersebut lahirlah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) atau United Malays National Organization (UMNO).

Sebanyak 41 pertubuhan menyertai kongres tersebut termasuk rakan-rakan Dato' Onn dari KRIS yang telah menubuhkan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM).
Dato' Onn bin Jaafar - Pengasas Kemerdekaan
(Pemimpin Melayu yang menyemarakkan semangat menentang penjajahan British)

Kongres Melayu SeMalaya 1946 mengumpulkan semua persatuan Melayu bagi menentang Malayan Union sehingga membawa kepada penubuhan UMNO. 

Cawangan-cawangan UMNO ditubuhkan dengan pemimpin-pemimpinnya terdiri daripada kalangan bangsawan dan juga rakyat biasa. Berpegang kepada slogan 'Hidup Melayu', perjuangan UMNO ketika mula digerakkan adalah untuk membubarkan Malayan Union dan mengembalikan kedaulatan Raja-raja Melayu. 

Perjuangan UMNO ini turut mendapat saingan hebat dari parti-parti kiri. Perjuangan parti-parti kiri ini mendapat sokongan kuat dari badan-badan kesatuan buruh dan lain-lain parti yang kemudiannya bergabung membentuk All Malayan Council Joint Action (AMCJA) pada 22 Disember 1946. Parti-parti kiri Melayu seperti PKMM, Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan lain-lain parti turut bergabung membentuk Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) pada 22 Februari 1947. PUTERA dan AMCJA kemudiannya bergabung dan dikenali sebagai PUTERA-AMCJA.

Perjuangan UMNO mendapat sokongan padu daripada Raja-raja, pembesar-pembesar Melayu dan rakyat jelata. Hasil dari perjuangan yang gigih, akhirnya sebuah jawatankuasa telah dibentuk terdiri dari wakil-wakil kerajaan British, Raja-raja Melayu dan UMNO bagi mengkaji pembentukan sebuah kerajaan untuk menggantikan Malayan Union.

1948


Malayan Union dibubarkan dan Persekutuan Tanah Melayu diisytiharkan pada 1 Februari 1948.

1951


Dato' Onn meletakkan jawatan sebagai Yang Dipertua UMNO berikutan cadangannya supaya UMNO membukakan pintu kepada lain-lain kaum mendapat tentangan hebat dari ahli-ahli UMNO.

Wakil-wakil bahagian UMNO seluruh Malaya dihantar ke Johor Bahru untuk memujuk Dato' Onn kembali memimpin UMNO. Rayuan dari wakil-wakil UMNO ini telah diterima oleh Dato' Onn dan beliau kembali memimpin UMNO. Beberapa bulan kemudian, Dato' Onn sekali lagi meninggalkan UMNO kerana cadangannya untuk membuka pintu keahliannya kepada kaum-kaum lain sekali lagi ditolak. 


(Sumber: Arkib Negara Malaysia)

bersambung di Gelombang Ke-3...




Saturday, August 31, 2019

Menjejaki 31 Ogos 1957 (Gelombang Pertama)

Gelombang Pertama


1906


Kebangkitan nasionalisme dimulakan oleh anak-anak muda lepasan pengajian tinggi Timur Tengah. Tokoh-tokohnya:- 
  1. Sheikh Tahir Jalaluddin Al-Azhari Al-Falaki
  2. Syed Sheikh Al-Hadi
  3. Sheikh Muhammad ibn Salim Al-Kalali 
  4. Sheik Muhammad bin Akil
  5. Sheikh Awad bin Saidin
  6. Haji Abas bin Taha.
Sheikh Tahir Jalaluddin Al-Azhari Al-Falaki

Syed Sheikh Al-Hadi

23 Julai 1906


Majalah Al-imam diterbitkan dan menjadi wadah bagi tokoh-tokoh ini menyuarakan tentangan terhadap British. Mereka membawa konsep ajaran Muhammad Abduh dari Mesir. British pula menggunakan ulama-ulama dan tokoh-tokoh agama di Tanah Melayu untuk menentang golongan ini atas alasan berlawanan dengan ajaran Islam.

Majalah Al-Imam

Mereka tidak dibenarkan oleh tokoh-tokoh agama dan pembesar-pembesar negeri Melayu masuk ke Tanah Melayu di mana pusat kegiatan mereka ketika itu ialah di Singapura dan Pulau Pinang. Atas tekanan-tekanan tersebut, British berjaya melemahkan perjuangan mereka menjelang tahun 1920. Sekalipun akhbar-akhbar Neracha, Warta Malaya, Saudara dan Al-Ikhwan terus diterbitkan tetapi suara golongan ini sudah mula mengendur.

Akhbar Warta Malaya

Akhbar Al-Ikhwan

1922


Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Tanjung Malim di Perak telah ditubuhkan bagi mendidik guru-guru Melayu. Ini adalah salah satu pusat pengajian untuk anak Melayu selain dari Kolej Melayu Kuala Kangsar yang dikhaskan untuk anak kerabat diraja dan pembesar-pembesar Melayu. 

Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI)

Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK)

Di antara tokoh MPSI ini ialah O.T.Dussek, Za'ba, Abdul Hadi bin Hassan dan Harun Muhammad Amin. Mereka memainkan peranan penting menanamkan semangat kebangsaan di kalangan guru-guru Melayu.

Zainal Abidin Ahmad (Za'ba)

Harun Muhammad Amin

1929


Ibrahim Haji Yaakob, seorang tokoh pelajar berumur 18 tahun menubuhkan gerakan politik haram 'Ikatan Pemuda Pelajar'. Dalam tahun 1930, ditubuhkan pula 'Ikatan Semenanjung Borneo'. Lain-lain tokoh pelajar ialah Muhammad Isa Mahmud, Hassan Haji Manan, Yaakob Muhammad Amin dan Abdul Karim Rashid.

1934


Raja Sir Chulan, Raja Dihilir Perak dan Dato' Abdullah bin Haji Dahan, Undang Luak Rembau yang menjadi ahli Federal Council menuntut British berhenti membawa masuk pekerja-pekerja buruh dari China dan India tanpa sekatan ke Tanah Melayu. Mereka juga menuntut ditubuhkan pasukan tentera yang khusus untuk orang-orang Melayu. Dari cadangan ini tertubuhlah pasukan Askar Melayu.

1935


Raja Sir Uda dan seorang peguam, Tengku Ismail menubuhkan parti politik bercorak kenegerian iaitu Persatuan Melayu Selangor diikuti oleh Tengku Muhammad bin Sultan Ahmad yang menubuhkan Persatuan Melayu Pahang dan Tengku Muhammad Nasir menubuhkan Persatuan Melayu Negeri Sembilan.

1937-1938


Ibrahim Haji Yaakob dan Ishak Haji Muhammad (Pak Sako: nasionalis yang berjuang melalui bidang penulisan) menguasai akhbar Majlis di Kuala Lumpur dan kemudian menubuhkan Kesatuan Melayu Muda (KMM). Majlis adalah salah sebuah akhbar yang menyuarakan penentangan terhadap dasar British.


Pak Sako

1941


Seramai 200 orang ahli KMM ditangkap oleh British kerana dikatakan bersubahat dengan Jepun. Semasa pendudukan Jepun, mereka menubuhkan Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS).



(Sumber: Arkib Negara Malaysia)

bersambung di Gelombang Ke-2...


Friday, August 30, 2019

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Ke-62

Selamat Menyambut Hari Kebangsaan 2019

Tanggal 31 Ogos 1957 adalah tarikh bersejarah di mana pada tarikh tersebut Tanah Melayu (Malaysia) mencapai kemerdekaan. Tanpa kita sedar, pada tahun ini kita akan menyambut Hari Kemerdekaan Kali Ke-62 yang bertemakan 'Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih'

Sayangi Malaysiaku: Malaysian Bersih - menekankan kepentingan perpaduan dan semangat cintakan negara bagi memastikan kesejahteraan dan kemakmuran negara tanpa mengira perbezaan kaum, agama dan bangsa. Menonjolkan nilai integriti dan jati diri rakyat Malaysia yang bersih dan tinggi.

Kali ini, sambutan hari kemerdekaan/kebangsaan akan diadakan pada 31 Ogos 2019 (Sabtu) bermula jam 7.00 pagi di Dataran Putrajaya manakala Sambutan Hari Malaysia 2019 pula akan diadakan di Kuching, Sarawak pada 16 September 2019 (Isnin).
AYUH...KITA MALAYSIA RAIKAN HARI KEBANGSAAN !
Tema dan logo Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-62

TEMA DAN LOGO SAMBUTAN KEMERDEKAAN KE-62

RASIONAL LOGO

Logo ini memaparkan tiga orang dengan pergerakan riang angkat tangan dengan satu bentuk hati di hadapan (dada) mereka.

MAKSUD LOGO

Logo ini menggambarkan warganegara Malaysia berbilang bangsa dalam keharmonian rasa, seia sekata, sehati sejiwa, membara rasa sayang kepada Negara Malaysia.

Penggunaan warna-warna Jalur Gemilang menggambarkan kepelbagaian dalam satu perasaan, Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih.

Malaysia akan menjadi negara yang aman damai dan makmur sekiranya rakyat mengamalkan budaya integriti dan menolak rasuah.

RASIONAL TEMA

Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih menekankan kepentingan perpaduan dan semangat cintakan negara bagi memastikan kesejahteraan dan kemakmuran negara tanpa mengira perbezaan kaum, agama dan bangsa. Menonjolkan nilai integriti dan jati diri rakyat Malaysia yang bersih dan tinggi.

(Sumber: Jabatan Penerangan Malaysia)

LAGU TEMA

Lagu Malaysia Bersih akan menjadi lagu tema untuk sambutan pada tahun ini. Walau bagaimanapun, lagu Kita Punya Malaysia (2018) akan turut dinyanyikan untuk menyemarakkan lagi semangat patriotisme dan menyemai amalan budaya integriti dan menolak rasuah dalam kehidupan kita. Budaya berintegriti dan menolak rasuah sangat penting untuk memastikan Malaysia sentiasa dalam keadaan sejahtera, aman damai dan makmur.

Untuk lebih info mengenai sejarah kemerdekaan Malaysia, sila ke entri 'Menjejaki 31 Ogos 1957'.

Thursday, August 29, 2019

Siapa Aku?


Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Untuk permulaan eloklah kiranya aku introduce diri aku dulu.

Nama aku Che Siti. Ayah aku An bin Sain dan mak aku Maznah binti Abu Bakar. Aku mempunyai 9 orang adik-beradik, 4 orang kakak, 4 orang abang dan aku yang bongsu. Yong, Angah, Alang, Abang, Kak Yat, Ude, Kak ita, Chik dan Adik...ini panggilan kami dalam keluarga. Suami aku bernama Nuramin bin Abdul Rani. Aku dikurniakan 3 orang anak lelaki iaitu Muhammad Adiff Fadzha, Muhammad Aakif Fauzan dan Muhammad Athif Fitri.

Aku dilahirkan pada 20 Januari 1986 di Sabak Bernam, Selangor dan dibesarkan di Taman Sabak, Sabak Bernam, Selangor. Aku memulakan alam persekolahan ketika berumur 6 tahun di Tadika Kemas, Sabak Bernam. Ketika itu seingat aku aktiviti di sekolah menyanyi.. kenal abc sikit-sikit..selebihnya main lari-lari dengan kawan-kawan. Cikgu pun baik-baik semuanya. Seronok betul pergi sekolah masa tu.

Selepas itu, bermula dari darjah 1 hingga darjah 6 pula aku bersekolah di Sekolah Rendah Kebangsaan Khir Johari, Sabak Bernam (nama baru SK Khir Johari), Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Simpang Lima (Nama baru SMKA Tun Rahah), Sekolah Menengah Kebangsaan Ungku Aziz dan seterusnya menamatkan Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 di Sekolah Menengah Teknik Ipoh, Persiaran Brash (Nama baru Kolej Vokasional Ipoh, Persiaran Brash).

Sebelum ini aku pernah bekerja di Nineteen O One Sdn Bhd, Shah Alam dan Infinity Logistics & Transport Sdn Bhd, Klang. Aku mula bekerja di SUK Selangor pada 1/9/2010 dan pada tahun ini genaplah 9 tahun aku bekerja di sini.